Pilihan Raya Kampus Bakal Menggegar Suasana hangat pemilihan kepemimpinan gerakan mahasiswa dalam memacu kepemimpinan baru di setiap kampus universiti awam akan kembali panas yang kian hampir waktunya. Pastinya semua mata akan tertumpu kepada situasi politik kampus dimana pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau dikenali juga sebagai Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) apabila pemilihan ini dijangka berlaku pada bulan ini.

Ada juga suara-suara yang mengatakan keputusan pilihanraya kampus juga akan menjadi penunjuk aras setara Pilihan Raya Umum Negara. Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) selaku gerakan mahasiswa yang turut memainkan peranan dalam keterlibatan dalam pilihanraya kampus ini berpendapat isu politik kepartian dan perkaitan dengan pilihanraya Negara adalah kurang wajar dikaitkan dalam Pilihanraya MPP ini. Malah KARISMA turut menggesa tiada percampuran badan politik kepartian yang mencampuri urusan politik kampus.
Mahasiswa selaku golongan intelektual mempunyai kekuatan dan daya analisa yang baik dengan ilmu serta tidak memerlukan campur tangan luar yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi. Malah turut merencatkan daya kepemimpinan dan inovasi para mahasiswa. Budaya melabel sebagai Pro-Aspirasi mahupun Pro-Mahasiswa hanya menjarakkan lagi hubungan dan daya kerjasama antara mahasiswa yang semestinya mempunyai misi dan visi yang selari dengan aspirasi universiti, Negara dan agama.
KARISMA yakin bahawa keterlibatan dalam politik kampus ini wajar dmanfaatkan sebaiknya oleh mahasiswa dalam mendapatkan pengalaman yang sangat berguna yang mana persis kepada Pilihanraya Umum Negara. Pembentangan Manifesto, perang poster, perang saraf, ucapan awam, sudut pidato, peraih undi, jentera pilihanraya dan sebagainya adalah aset penting mahasiswa yang tidak akan dapat dipelajari di dalam dewan kuliah. Malah tidak semua mahasiswa yang akan dapat merasa kemanisannya.






